Tabloidseleberita – Penyanyi Dato’ Sri Siti Nurhaliza memilih tarikh 30 Jun 2023 untuk melancarkan album terbaharu beliau yang berjudul Sitism. Album yang mengandungi 8 buah lagu ini
dilancarkan secara digital terlebih dahulu sebelum kemunculan album penuh atau ‘deluxe album’
sebanyak 12 lagu didalam format digital dan fizikal.

Judul Sitism dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti dan imbuhan ism’ pula adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album. Apabila nama Siti dan imbuhanism’ ini digabungkan, Sitism membentuk kata
nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam album solo ke-20 beliau.

Salah seorang penerbit dan komposer di dalam album Sitism iaitu Aubrey Suwito adalah individu yang
kerap menggunakan Sitism atau Siti-ism bagi menggambarkan Siti Nurhaliza kerana menurut beliau,
apabila Siti menyanyi, ciri khas, gaya, kualiti dan suara yang dimiliki penyanyi itu unik serta senang dikenali bahawa itulah Siti Nurhaliza.

Menurut Siti, Sitism sangat bertepatan sebagai judul album kerana selama lebih 27 tahun bergiat di
dalam industri muzik, beliau sudah menghidupkan jenama Siti Nurhaliza dengan ciri beliau yang
tersendiri.

Tambah Siti, album Sitism adalah diri beliau yang tersendiri seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan beliau.

Fokus Siti adalah untuk membolehkan para peminat beliau dapat mendengarkan 8 buah lagu terlebih dahulu sebelum penambahan 4 buah lagu lagi akan menjadi lebih istimewa apabila dikeluarkan di
dalam bentuk fizikal selain digital kelak.

Setelah berjaya dengan single pertama Menjaga Cintamu yang dilancarkan pada 18 Mei 2023, menerusi album ini, Siti mempertaruhkan lagu berentak rock balada ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Rozisangdewi yang berjudul Romansa Kita.

Romansa Kita membawa tema kehebatan kisah percintaan yang berawal dengan sekadar impian
namun menjadi kenyataan apabila sepasang individu menanam keyakinan untuk bersama-sama
sehingga ke akhir hayat mereka.

Selain Romansa Kita (Sharon Paul/Rozisangdewi), lain-lain lagu yang terdapat di dalam album ini ialah
Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta/Luca Sickta & Siti
Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi), Ganti (Mingaling & Nuha Nik/ Amir Hasan & Nuha Nik), Teratas (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya), Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) dan Magis (Mas Dewangga & Jova Devito/ Mas Dewangga & Jova Devito & Aden King).

Album Sitism diterbitkan oleh Universal Music Sdn Bhd dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd ini boleh didapati di pelantar digital bermula 30 Jun 2023. Album penuh atau album `deluxe’ dijangka
akan berada di pasaran pada awal Ogos nanti.

Reporter : Hero

Editor : NM